Penyakit Vaskular Serang Tanpa Gejala, Rakyat Sabah Digesa Jalani Saringan Awal

Penyakit Vaskular Serang Tanpa Gejala, Rakyat Sabah Digesa Jalani Saringan Awal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya golongan berisiko digesa menjalani saringan awal kerana penyakit vaskular boleh menyerang tanpa gejala sebelum menjadi serius dan mengancam nyawa.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, tanda amaran seperti sakit atau kekejangan kaki ketika berjalan, kebas, perubahan warna kulit, bengkak dan luka lambat sembuh tidak boleh dipandang ringan.

“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, pada Isnin.

Julita berkata, antara penyakit yang diberikan perhatian ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), iaitu keadaan apabila bahagian dinding aorta yang lemah membesar atau mengembung.

Menurutnya, AAA mungkin berlaku tanpa gejala jelas, namun boleh membawa maut sekiranya pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman serius.

Kempen berkenaan turut menyediakan saringan AAA dan penyakit arteri periferi (PAD), yang berlaku apabila saluran darah ke anggota badan khususnya kaki menjadi sempit atau tersumbat.

Beliau berkata, risiko penyakit vaskular boleh dikurangkan dengan berhenti merokok, mengawal tekanan darah, gula dan kolesterol, mengekalkan berat badan sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta aktif secara fizikal.

“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.

Julita berkata, Kerajaan Sabah akan terus menyokong penyediaan maklumat kesihatan yang tepat, saringan bersesuaian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

Turut hadir Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr Benjamin Leong Dak Keung.