Pergolakan Timur Tengah: Kerajaan Sabah Sentiasa Berhubung Dengan Wisma Putra Dan KPT...

Pergolakan Timur Tengah: Kerajaan Sabah Sentiasa Berhubung Dengan Wisma Putra Dan KPT Untuk Maklumat Terkini

0
SHARE
Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri KSTI merangkap Exco Pendidikan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Berikutan krisis terkini di Timur Tengah, ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak atau saudara yang sedang menuntut di kawasan itu di minta untuk bertenang.

Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau keadaan anak-anak Malaysia yang sedang berada di sana khasnya di Jordan dan Mesir. 

“Kerajaan Negeri Sabah juga dari masa ke masa akan berhubung dengan pihak Wisma Putra dan KPT untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Baru sebentar tadi saya berhubung dengan Timbalan Menteri luar, Datuk Mohamad Alamin berhubung perkara ini dan Alhamdullilah menurut beliau KPT dan Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya memerlukan. 

“Saya dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar sentiasa berhubung dengan wakil Sabah (Pengurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah/Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah) yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, Ustaz Sabli Aliju berhubung situasi semasa anak-anak Sabah di tiga negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya ada pengalaman menyalaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir.

“Untuk rekod, setakat ini terdapat 428 anak-anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 di Jordan dan 9 di Arab Saudi. 

“Mereka ini belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri. Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, MUIS dan JPA.

“Sekali lagi saya berharap para ibu bapa dan keluarga bertenang. Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka,” katanya.