MATUNGGONG: Perhimpunan Mega Jelajah Kempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU) Sabah ke-17 di N.5 Matunggong semalam mencatatkan sambutan luar biasa, menggambarkan gelombang sokongan rakyat yang semakin kukuh terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kehadiran besar penduduk Matunggong pada program tersebut membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan kerajaan GRS untuk terus memimpin dan membawa pembangunan ke kawasan itu.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dengan semangat kuat dan bersatu hati. Sokongan ini menjadikan kami optimis bahawa GRS mampu mempertahankan Matunggong sekali lagi dalam PRU Sabah ke-17,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Menurut Hajiji, usaha calon GRS, Datuk Julita Mojungki dalam memperjuangkan pemerkasaan Matunggong, termasuk menaik taraf kawasan itu sebagai sebuah daerah, adalah antara pencapaian besar yang hanya dapat direalisasikan melalui kerajaan yang stabil, konsisten dan mengutamakan rakyat.
Beliau berkata, Matunggong mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan GRS komited memastikan peluang tersebut diterjemahkan kepada pembangunan menyeluruh untuk masyarakat setempat.
“Lima tahun di bawah pentadbiran GRS telah membuktikan kemampuan kerajaan meningkatkan pembangunan ekonomi, menyediakan infrastruktur asas luar bandar, memperluas bantuan kebajikan dan memastikan pembangunan seimbang di semua daerah,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan rakyat agar tidak mempertaruhkan masa depan kawasan itu dengan memilih politik dendam dan sentimen yang boleh menggagalkan kesinambungan pembangunan.
“Untuk masa depan Matunggong yang lebih maju dan terjamin, saya menyeru pengundi untuk memilih calon GRS No. 1 di N.5 Matunggong, Datuk Julita Mojungki,” katanya.






