Perintah Berkurung Separa Diperkenalkan Sebagai Lanjutan Tempoh Sekatan Di Sydney

Perintah Berkurung Separa Diperkenalkan Sebagai Lanjutan Tempoh Sekatan Di Sydney

0
SHARE

SYDNEY, AUSTRALIA – Perintah Berkurung Separa (Half Lockdown) diperkenalkan sebagai perlanjutan tempoh sekatan selama sebulan di bandar terbesar di Australia ini kerana masih bergelut mengekang penularan COVID-19.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, yang mengumumkan keputusan ‘sukar’ itu, memaklumkan tiba masanya untuk bandar dengan lima juta penduduk itu ‘berkurung’.

“Malangnya, jumlah kes masih terus meningkat, inilah kehidupan kita sehingga hujung September,” katanya yang dipetik AFP dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian…

Sepanjang tempoh pandemik, Sydney hanya mencatatkan sejumlah kecil kes COVID-19, namun bandar itu kini melaporkan lebih 600 kes sehari dan angka itu masih meningkat.

Perintah kekal di rumah kini dikekalkan di seluruh bandar itu sehingga hujung bulan depan dan penduduk di kawasan panas virus turut dikenakan perintah berkurung waktu malam manakala tempoh bersenam di luar dihadkan kepada sejam sehari.

Kira-kira 1,000 anggota pasukan pertahanan dikerah membantu polis menguatkuasa sekatan itu, bagi mengawal penduduk yang enggan mematuhi peraturan berkenaan.

Dengan jumlah kematian berterusan meningkat dan penularan virus ke wilayah lain, Australia kini menyegerakan proses imunisasi COVID-19, namun setakat ini hanya 30 peratus penduduk sudah menerima vaksinasi lengkap.

Dalam pada itu, terdapat kebimbangan terhadap komuniti Orang Asli yang terdedah di New South Wales Outback, yang mula merekodkan penularan kes.

Seluruh penduduk Wilcannia, bandar kecil yang dikelilingi beberapa tapak kuno Orang Asli, diminta menjalankan saringan selepas satu majlis pengebumian dikesan berpotensi menjadi majlis ‘perebak utama’.