TAMPARULI, SABAH – Sekolah, komuniti dan pemimpin masyarakat perlu menjalin kerjasama demi pembangunan sesebuah sekolah, demikian kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
“Perhubungan timbal balik ini penting kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tinambak, Topokon, kelmarin.
Menurutnya, ahli komuniti bertindak secara teratur dan bersatu padu mengikut sistem sosial yang dipersetujui bersama, manakala warga pendidik pula memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak watan terus mendapat pendidikan.
“Baik cikgunya, baik muridnya, maka baiklah masyarakat di sekelilingnya,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, kerajaan melalui jabatan tertentu akan mencari jalan penyelesaian membantu SK Tinambak dalam permasalahan dihadapi mereka.
“Kita akan bawa perkara-perkara tersebut kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan segera dan membantu mana mana yang termampu,” katanya.
Terdahulu, Guru Besar SK Tinambak, Suhaimi Abdullah @ Voo Hon Man, mengucapkan terima kasih atas kehadiran Jahid dan rombongan.
“Ini kali pertama kita dilawati seorang menteri dalam kerajaan negeri, bukannya senang untuk kita mendapat peluang seperti ini, yang merupakan satu sejarah penting kepada sekolah,” katanya.
Antara permasalahan yang diketengahkan pihak sekolah berkenaan adalah mengenai ancaman hakisan tanah yang melibatkan bangunan sekolah.
“Lebih-lebih lagi apabila berlaku banjir, inilah yang merupakan keperluan mendesak sekolah,” katanya.
Untuk rekod, SK Tinambak mempunyai seramai 108 orang murid.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Pekan Tinambak, Mousus Abraham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tinambak, Aprijoh Angkaji, dan Ketua Kampung Tinambak, KK Peter Dony.