KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyumbangkan 13 kenderaan jenazah bernilai keseluruhan RM2.21 juta bagi memudahkan urusan pengurusan jenazah serta membantu masyarakat Islam di beberapa kawasan di negeri ini.
Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap kenderaan bernilai RM170,000 itu dibiayai menerusi dana zakat dan fitrah MUIS untuk dimanfaatkan oleh masyarakat yang memerlukan.
“Saya berharap sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah ini dapat dimanfaatkan dan yang sangat penting, memudahkan urusan yang melibatkan kesusahan di kawasan masing-masing.
“Mudah-mudahan sumbangan ini dapat membantu masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenazah MUIS, pada Jumaat.
Arifin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, penggunaan kenderaan berkenaan tidak terhad kepada satu kampung sahaja, sebaliknya boleh dimanfaatkan secara bersama oleh beberapa kampung atau komuniti berhampiran.
Menurutnya, antara lokasi yang boleh dipertimbangkan untuk menempatkan kenderaan tersebut termasuk masjid, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan pejabat daerah bagi memudahkan urusan masyarakat setempat.
“Bukan satu kampung sahaja, tetapi beberapa kampung boleh memanfaatkan kenderaan ini.
“Ada cadangan untuk ditempatkan di masjid, UPPM atau di bawah pejabat daerah supaya kampung-kampung berdekatan dapat menggunakan kemudahan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MUIS akan terus mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan kemudahan tersebut bagi memastikan bantuan seumpama itu dapat diperluaskan pada masa akan datang.
“Insya-Allah, selepas ini kita akan mengenal pasti tempat yang benar-benar memerlukan untuk diberikan tumpuan,” katanya.
Arifin turut mengingatkan pihak penerima supaya menjaga kenderaan yang disumbangkan dengan sebaik-baiknya agar kemudahan berkenaan dapat digunakan secara berterusan demi kepentingan masyarakat.






