Persatuan Talasemia Sabah Cadang Kerajaan Negeri Wajibkan Ujian Saringan Talasemia Bagi Bakal...

Persatuan Talasemia Sabah Cadang Kerajaan Negeri Wajibkan Ujian Saringan Talasemia Bagi Bakal Pengantin

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Talasemia Sabah mencadangkan kerajaan negeri itu mewujudkan undang-undang khusus mewajibkan setiap pasangan yang bakal berkahwin menjalani ujian saringan talasemia.

Presidennya Francis Mujim yang dipetik Bernama berkata bahawa langkah itu bagi mengawal dan mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan penyakit berkenaan, seterusnya menghasilkan generasi yang lebih sihat pada masa akan datang.

“Pada masa ini, kita tidak boleh paksa pasangan menjalani ujian saringan talasemia seperti ujian saringan HIV,” katanya kepada pemberita selepas perasmian kempen Kesedaran Talasemia 2.0 peringkat negeri di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Poon Ming Fung.

Mengulas lanjut, Francis berkata setakat 2018, terdapat 1,814 penghidap talasemia di Sabah dengan bilangan tertinggi adalah yang berusia 10 hingga 14 tahun iaitu seramai 391 orang, diikuti kelompok usia 5-9 tahun (370) dan 15-19 tahun (327).

Menurutnya kebanyakan penghidap talasemia major meninggal dunia ketika berusia 18 hingga 23 tahun.

Menerusi kempen itu, persatuan akan melibatkan ketua komuniti untuk menyebar luas maklumat tepat mengenai talasemia, katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan  Stakeholder Relation Repsol Oil, & Gas Malaysia Ltd Ahmad Fakhrurrazi Arshad berkata Repsol melalui tanggungjawab sosial korporatnya menyumbang RM330,000  bagi menjayakan kempen kesedaran talasemia sejak 2014.

“Pada Januari tahun ini, Repsol telah menaja enam pesakit talasemia dalam bidang bakeri dengan menyediakan latihan kemahiran untuk membina kapasiti serta membekalkan oven dan bahan-bahan mentah supaya mereka boleh memulakan perniagaan dari rumah,” katanya.