MELAKA – Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) berasa kecewa dan terhina dengan kenyataan dilontarkan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah pada liputan sidang media baru-baru ini.
Memetik sumber Malaysia Gazette, PENDIKA dalam satu kenyataan berkata, tindakan Zainol yang menempelak wartawan bertentangan dengan sikap profesional yang sepatutnya ditonjolkan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, sidang media yang berlangsung tenang dengan pelbagai soalan berkisarkan program pada kira- kira-kira lapan minit pertama tiba-tiba bertukar tegang.
“Beliau menempelak wartawan yang bertanyakan soalan berkaitan statistik jenayah di Melaka sedangkan soalan berada dalam skop pengetahuannya untuk menjadi berita kedua selain laporan program.
“Namun, jawapan dan reaksi yang diterima daripada Zainol dilihat sengaja merendah-rendahkan kredibiliti wartawan yang berada di lokasi yang rata-ratanya sudah berkhidmat lebih sedekad dalam bidang media arus perdana di Melaka,” tambahnya.
Jelas PENDIKA, selepas meneliti rakaman audio dan video yang disertakan, persatuan beranggapan reaksi sedemikian tidak sepatutnya dilontarkan secara terbuka.
“Rentetan kejadian itu, ada segelintir wartawan berpendirian untuk mengambil sikap berkecuali untuk menghadiri jemputan program sidang media seterusnya bersama Ketua Polis pada 21 November lalu.
“Isu menjadi semakin serius apabila Pegawai Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mengambil tindakan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.
Jelasnya, pegawai berkenaan memilih membuat ‘group WhatsApp’ baharu bersama beberapa wartawan dipilih tanpa cuba mendapatkan penjelasan sebenar daripada individu yang ‘dihukum’,”
“Justeru, kami berharap isu ini dapat menemui titik keharmonian dengan cadangan pertemuan empat mata antara PENDIKA dan Ketua Polis Melaka dapat dilakukan segera,” katanya.