Peruntukan Pembangunan Belia dan Sukan Borneo Wajar Dipertimbang Kerajaan Pusat – Ellron

Peruntukan Pembangunan Belia dan Sukan Borneo Wajar Dipertimbang Kerajaan Pusat – Ellron

0
SHARE
Ellron
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, menyatakan sokongan penuh terhadap permintaan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan supaya Sabah dan Sarawak diberi peruntukan secukupnya oleh kerajaan Persekutuan untuk kemajuan kedua-dua negeri terbabit.

Difahamkan sebanyak RM112.29 Juta diperuntukkan bagi Pembangunan Belia dan Sukan dalam Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Belia dan Sukan.

Permintaan ini telah disuarakan oleh Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perikanan, Pertanian dan Industri Makanan Sabah semasa mengulas bajet Kementerian Belia dan Sukan dalam sidang perbahasan di Palimen Selasa lepas.

“Sebagai menteri di Kementerian Belia dan Sukan Sabah, saya menyokong penuh permintaan Jeffrey agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan dapat memenuhi permintaan tersebut agar pembangunan bakat sukan anak-anak muda Sabah dan Sarawak tidak terencat.

“Sebagai rakan kongsi dalam Malaysia, Sabah dan Sarawak harus menerima agihan peruntukan yang adil dan saksama bagi membolehkan rakyat kedua-dua negeri dapat menikmati fasiliti sukan mahupun program-program yang melibatkan pembangunan prestasi atlet dan pembangunan modal insan belia.

“Dalam mengagihkan peruntukan tersebut, Kerajaan Persekutuan juga perlu mengambil kira saiz negeri dan bilangan penduduk di kedua-dua negeri,” tambahnya lagi.

Ellron berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Sabah dan Sarawak adalah antara negeri penyumbang atlet untuk mewakili negara ke sukan peringkat antarabangsa dan telah membantu mengharumkan nama Malaysia melalui pungutan pingat kemenangan.

“Walau bagaimanapun disebabkan ketiadaan dana yang mencukupi, atlet-atlet tidak berpeluang untuk menyerlahkan potensi diri di peringkat kebangsaan.

“Contohnya baru- baru ini pasukan bolasepak Sabah bawah 15 dan 18 tahun Majlis Sukan-Sukan Sabah (MSSS) hampir tidak dapat menyertai pertandingan bolasepak Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) di Johor kerana tidak mampu membayar tiket kapal terbang dan penginapan.

“Walau bagaimanapun atas tanggungjawab supaya pasukan tersebut dapat bersaing maka kerajaan negeri Sabah telah menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan mereka.

“Meskipun isu berkenaan sudah diselesaikan, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali kita tidak mahu sekali lagi menghampakan harapan dan kerja keras anak-anak muda ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.