KOTA KINABALU: Peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sabah serta kesinambungan projek infrastruktur utama menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Belanjawan 2027 merupakan belanjawan komprehensif yang mampu meringankan beban kewangan rakyat, selain mencerminkan kekukuhan ekonomi negara.
“Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat.
“Ia juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan dengan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 di Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu mengumumkan Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan tertinggi dengan jumlah RM18.7 bilion bagi tahun hadapan, meningkat berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Selain itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B serta Sarawak-Sabah Link Road 1 yang disasarkan siap menjelang penghujung 2027.
Bagi memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Sabah, kerajaan turut bersetuju melaksanakan pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
Projek Talian Penghantaran Southern Link juga akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri ini.
Dalam aspek pendidikan pula, kerajaan bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
Langkah itu membolehkan seramai 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Turut menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; pembantu-pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri.






