KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 menyaksikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) apabila RM13 bilion diperuntukkan kerajaan untuk tahun depan berbanding hanya RM10 bilion sebelum ini.
Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, peningkatan itu akan terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
“Ini bermakna pada tahun hadapan, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA bernilai RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.
“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April depan dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas bantuan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, golongan bujang akan menerima STR bernilai RM600 hasil tambahan peruntukan itu, sekali gus membolehkan kadar maksimum diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.
“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran kita ambil langkah serta kebijakan ekonomi dengan meningkatkan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.
“Ini juga akan ditambah melalui peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion berbanding RM 2.4 bilion,” katanya.
Tambah beliau lagi, Bantuan Warga Emas juga dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebulan ketika ini, manakala kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang untuk kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.
“Bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun pula, bantuan mereka akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga,” katanya.
Tiada rakyat akan berpendapatan kurang RM1,100 sebulan
Perdana Menteri berkata setiap keluarga isi rumah miskin yang mempunyai tiga anak layak menikmati jumlah bantuan lebih tinggi tahun ini dengan mereka menerima lebih RM13,000 setahun berbanding RM11,000 ketika ini.
Beliau berkata, ia suatu peningkatan amat ketara berbanding RM11,000 pada masa ini.
Sementara warga emas miskin layak menerima bantuan lebih RM10,000 setahun berbanding RM8,000 sebelum ini.
“Ini bermakna tiada rakyat berpendapatan kurang RM1,100 sebulan dan ini belum mengambil kira bantuan daripada kerajaan negeri, (jabatan) zakat dan yayasan,” katanya.
Anwar juga berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan tiada keciciran dan JKM serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) harus berganding bahu dan menggandakan usaha verifikasi golongan miskin.
Tambah Anwar, bayaran bagi STR 2024 Fasa Empat akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November membabitkan peruntukan RM1.7 bilion.
Justeru, seluruh jentera kerajaan digerakkan bagi menggembleng kekuatan mengawal harga dan bekalan barangan untuk termasuk menghapus tembok penguasaan kartel yang meratah keuntungan maha besar daripada wang rakyat.
“Selain itu, sejumlah RM1 bilion disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas.
“Ia meliputi Program Payung Rahmah yang ditingkatkan peruntukan kepada RM300 juta berbanding RM200 juta sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Jualan Rahmah akan diperhebat bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap bulan.