KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) menjelaskan bahawa pesakit yang memerlukan rawatan segera diberi keutamaan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), manakala tempoh menunggu bergantung kepada tahap kecemasan serta keadaan klinikal setiap pesakit.
Penjelasan itu dibuat susulan hantaran tular di media sosial yang mempersoalkan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan di jabatan berkenaan pada 21 Oktober lalu.
Menurut kenyataan Pengarah HQE pada Sabtu, pengendalian pesakit dilaksanakan berdasarkan sistem penilaian tahap kecemasan atau triage bagi memastikan mereka yang memerlukan rawatan segera diberikan keutamaan.
“Tempoh menunggu mungkin berbeza bergantung pada keadaan klinikal pesakit, jumlah kehadiran pesakit serta keperluan pemeriksaan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Pihak hospital turut menjelaskan bahawa proses pengendalian pesakit merangkumi pemeriksaan klinikal, semakan keputusan ujian serta rujukan kepada jabatan kepakaran berkaitan mengikut keperluan setiap kes.
Sehubungan itu, pesakit yang mengalami perubahan keadaan kesihatan ketika menunggu dinasihatkan segera memaklumkan kepada petugas bagi membolehkan penilaian semula dilakukan.
Dalam pada itu, HQE memaklumkan pihaknya akan terus memantau pengurusan aliran pesakit serta meneliti langkah penambahbaikan bersesuaian bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan.
“Segala kesulitan yang dialami amatlah dikesali. Pihak hospital kekal komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, seorang pengguna Threads menerusi akaun @zenixabdullah pada 22 Oktober lalu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tempoh menunggu yang didakwanya mencecah lima jam untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkenaan.
“Memang begini kah kualiti perkhidmatan hospital kerajaan? Lima jam kena sidai. Ni baru menunggu mau jumpa doktor, belum lagi ambil ubat,” tulisnya.
Pengguna berkenaan turut mempersoalkan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan selain menyuarakan kebimbangan terhadap pesakit warga emas yang terpaksa menunggu lama sehingga ada yang tertidur.






