Peter Akan Memperkukuhkan GRS – Dr. Jeffrey

Peter Akan Memperkukuhkan GRS – Dr. Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Permohonan keahlian parti baharu Datuk Peter Anthony belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata hal itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya percaya juga ada kebaikannya untuk menerima permohonan itu kerana dia (Peter) juga akan memperkukuhkan kerajaan GRS…

“Jadi saya melihat ini sebagai sesuatu yang boleh memperkuatkan kerajaan negeri kerana kerajaan ingin melihat kesatuan pemimpin-pemimpin dan parti-parti politik,” kata Timbalan Ketua Menteri itu.

Kesatuan pemimpin-pemimpin Sabah adalah yang sama seperti dimahukan Peter melalui parti baharunya, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Jumaat lalu.

Peter baru-baru ini berkata akan membantu GRS dari akar umbi dan sudut input luar dengan mencontohi kerajaan tempatan Sarawak ataupun Pulau Pinang yang menurutnya adalah kukuh.

Walau bagaimanapun, Parti Bersatu Sabah (PBS) beberapa hari lalu berkata adalah lebih baik untuk menguatkan dahulu komponen parti asas yang sedia ada.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai dalam satu kenyataan berkata, PBS mengalukan sokongan dari semua lapisan masyarakat Sabah namun mengingatkan GRS untuk tidak terburu-buru dalam menerima sebarang permohonan.

Beliau berkata parti-parti baharu yang ingin menyertai GRS terlebih dahulu seharusnya membuktikan kesetiaan dan ketelusan mereka buat jangka masa panjang.

Katanya tempoh masa untuk mempercayai Peter terlalu singkat kerana dia baru sahaja berdiri di pihak lawan ketika pilihan raya negeri Sabah pada tahun 2021 sebelum tersungkur.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional Sabah, (BERSATU, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional, (UMNO, PBRS, MIC dan MCA) serta PBS.