Piala Malaysia 2023: Sabah FC Layak Ke Suku Akhir

Piala Malaysia 2023: Sabah FC Layak Ke Suku Akhir

0
SHARE
Kredit Foto: Facebook Sabah Football Club...

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC yang terikat 1-1 dengan Kuching City tetap melangkah dan layak ke suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan memperolehi agregat 4-1 selepas tamat perlawanan timbal balik pusingan 16 di Stadium Likas, malam ini.

Walaupun keputusan seri pada malam ini, namun Kuching City ketinggalan dengan agregat agak besar selepas tewas 3-0 dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.

Pasukan tuan rumah yang berada dalam kedudukan selesa selepas mendahului dengan agregat 3-0, kelihatan agak kurang agresif ketika memulakan permainan malam ini, namun tetap berhati-hati terhadap kemaraan pasukan pelawat.

Sebaliknya, Kuching City dilihat cuba melakukan kejutan untuk mencuri gol dan merapatkan jurang agregat sejurus perlawanan bermula hingga berjaya mencipta peluang berbahaya seawal minit ke-19.

Kuching City hampir mendahului apabila dua pemainnya berjaya menembusi pertahanan Sabah dan hanya berdepan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-19, namun agak malang bola tersasar ke arah tepi kiri tiang gol tuan rumah.

Sabah dilihat mula mengatur gerakan balas dan melakukan beberapa cubaan bermula dengan sepakan kencang Gary Steven Robbat dari luar kotak penalti Kuching City pada minit ke-23, namun melepasi palang gol.

Cubaan Sabah diteruskan lagi sehinggalah pada minit ke-26, Rizal Ghazali berjaya meledakkan jaringan untuk tuan rumah selepas menerima hantaran sepakan percuma daripada Saddil Ramdani.

Walaupun skuad Badak mendahului perlawanan malam ini dengan 1-0 di babak masa pertama, namun ianya berubah pada babak kedua apabila pemain lawan, Rames Lai berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57.

Sabah cuba mengubah kedudukan menerusi beberapa cubaan untuk menambah jaringan sepanjang baki masa perlawanan, namun tiada yang berhasil sehingga wisel penamat dibunyikan.