Piala Thomas Milik Indonesia, Tewaskan China 3-0

Piala Thomas Milik Indonesia, Tewaskan China 3-0

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Skuad badminton Indonesia menjulang Piala Thomas selepas menewaskan juara bertahan, China 3-0 pada aksi final di Aarhus, Denmark malam tadi.

Kejayaan Indonesia itu turut mengakhiri 19 tahun penantian mereka untuk menjulang piala tersebut selepas kali terakhir menjulang trofi itu dengan menewaskan Malaysia 3-2 di Guangzhou, China pada 2002.

Pada aksi perlawan malam tadi, perseorangan pertamanya skuad badminton Indonesia iaitu Anthony Sinisuka Ginting membakar semangat pasukan apabila menyumbang kemenangan pertama selepas bangkit daripada kekalahan set pertama dengan menundukkan Lu Guang Zu 18-21, 21-14, 21-16.

Ia adalah kemenangan ketiga buat pemain kelima dunia itu ke atas lawan yang menduduki ranking ke-27 berkenaan dalam saingan selama 1 jam 17 minit.

Percaturan Indonesia menyenaraikan gandingan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sebagai beregu pertama dengan merehatkan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo turut menjadi.

Pasangan nombor tujuh dunia itu menepati ramalan menundukkan beregu yang berada di ranking 1,159 dunia, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-12, 21-19.

Ketika jangkaan Jonatan Christie mudah membutirkan mata kemenangan buat Indonesia, sebaliknya berlaku apabila pemain ketujuh dunia itu diheret ke set penentuan sebelum menundukkan Li Shi Feng yang menduduki ranking ke-65 dunia, 21-14, 18-21, 21-14 dalam aksi selama 1 jam 22 minit.