PIBG Digesa Perkukuh Keselamatan Internet Dalam Kalangan Murid di Sabah

PIBG Digesa Perkukuh Keselamatan Internet Dalam Kalangan Murid di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing murid menggunakan internet secara selamat, berhemah dan bertanggungjawab seiring perkembangan pesat teknologi digital.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemajuan teknologi digital memberi banyak manfaat kepada proses pembelajaran, namun pada masa sama turut mendedahkan kanak-kanak kepada risiko termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi dan kandungan tidak sesuai.

Menurutnya, tanggungjawab memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan PIBG.

“Anak-anak bukan sahaja perlu celik teknologi, tetapi juga mesti bijak membuat pertimbangan, berhemah ketika menggunakan internet dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan mereka di ruang digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Sabah di sini, yang disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri, Justinus Jalang yang mewakili beliau.

James berkata, ibu bapa perlu mengambil tahu aktiviti dalam talian anak-anak termasuk aplikasi yang digunakan, kandungan yang diakses serta pihak yang berinteraksi dengan mereka.

Pada masa sama katanya, guru dan PIBG perlu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber termasuk cara melindungi maklumat peribadi, mengenal pasti penipuan dalam talian serta melaporkan sebarang bentuk gangguan atau buli siber.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan literasi digital supaya murid bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu memanfaatkan kemudahan berkenaan secara matang, kritikal dan beretika.

Menurutnya, perkembangan infrastruktur digital di Sabah juga perlu disertai usaha memperkukuh pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan internet secara selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

James berkata, kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta rakan strategik berkaitan bagi memperluas pendidikan keselamatan internet dan literasi digital di sekolah.

“Kita mahu anak-anak Sabah menikmati manfaat teknologi, tetapi pada masa yang sama sentiasa terlindung dan selamat,” katanya.

Beliau berharap konvensyen itu menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara PIBG, sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan dalam melindungi murid daripada ancaman di alam siber.