KOTA KINABALU: Peningkatan kos operasi, kesukaran mendapatkan pembiayaan serta kekangan akses kepada teknologi dan pasaran lebih luas terus menjadi cabaran utama yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa agensi kerajaan, institusi kewangan, persatuan industri dan sektor swasta memperkukuh kerjasama bagi membantu PKS menangani cabaran berkenaan serta mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah kerana sektor itu bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah menjadi sumber pendapatan masyarakat di bandar, daerah dan kawasan luar bandar.
“Banyak PKS masih berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, teknologi dan pasaran yang lebih luas, manakala peningkatan kos terus memberi tekanan kepada operasi perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, sempena majlis perasmian BIGSABAH Sale 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, penggunaan teknologi digital seperti e-dagang, media sosial dan pembayaran digital mampu membantu usahawan mengatasi kekangan jarak dan lokasi, sekali gus memperluas capaian pelanggan termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, golongan wanita, belia dan perusahaan berasaskan komuniti juga perlu diberikan sokongan serta peluang sewajarnya untuk terus berkembang.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran BIGSABAH Sale 2026 yang menghimpunkan pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri di Malaysia mampu membuka peluang perdagangan serta kerjasama perniagaan kepada usahawan tempatan.
Menurutnya, kedudukan strategik Sabah dalam kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menawarkan potensi perdagangan yang luas, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, pengeluaran makanan, logistik dan perkhidmatan.
Bagaimanapun, katanya, usahawan tempatan perlu terus meningkatkan kualiti produk, penjenamaan dan pembungkusan bagi memastikan produk keluaran Sabah mampu bersaing serta menembusi pasaran lebih luas.
“Produk makanan tempatan, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan kita mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih luas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negeri ini,” katanya.
Hajiji turut berharap penyertaan pempamer dari luar negara dan Semenanjung Malaysia dapat mewujudkan hubungan perdagangan berkekalan, peluang pengedaran produk serta menarik pelaburan baharu.
Beliau berkata, kerjasama perniagaan dengan perniagaan (B2B) perlu diperkukuh supaya usahawan tempatan bukan sekadar mempamerkan produk, sebaliknya berpeluang membina kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Mengulas sektor pelancongan, Hajiji berkata, usaha kerajaan negeri mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat pada 2026 serta persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 perlu turut memberikan manfaat ekonomi kepada rakyat tempatan.
Katanya, peningkatan jumlah pelawat seharusnya membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada peruncit, pengeluar makanan, penyedia perkhidmatan dan perusahaan berasaskan komuniti.
Beliau berkata, kehadiran pempamer, pembeli dan pengunjung ke BIGSABAH Sale juga dijangka meningkatkan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan, makanan serta pelbagai perkhidmatan tempatan.
Menurutnya, manfaat penganjuran acara itu diharap berterusan selepas program berakhir menerusi peluang tempahan pembelian, perjanjian pengedaran dan pelaburan baharu.
Hajiji turut menggalakkan semua pempamer memanfaatkan platform berkenaan untuk bertemu pembeli, bertukar-tukar idea dan menjalin kerjasama perniagaan yang mampu membuka peluang pasaran lebih luas kepada produk tempatan.






