
KOTA KINABALU, SABAH – Program Nadwah Serantau Islam Sabah (PNSIS) mengangkat Sastera Islam sebagai teras perhubungan masyarakat serantau.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, program tersebut mengajak masyarakat rantau nusantara untuk menjadikan nilai-nilai Islam sebagai teras perhubungan melalui penghayatan karya sastera.
“Seiring dengan tekad perpaduan, kesusasteraan Islam diharapkan mampu membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain dengan menakankan kepada konsep kesatuan, kesedaran kumpulan dan kesepaduan sosial dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia amnya dan di Sabah khasnya dan menjamin keharmonian negara.
“Sebagai umat Islam, perubahan kepada sesuatu yang lebih baik melalui penerapan nilai-nilai agama sewajarnya kita amalkan pada setiap masa, seni atau bersastera perlu bertonggak Islam, seperti juga kita beribadah dan berbakti kerana Allah dengan kata lain, sastera Islam ialah sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia, katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dalam PNSIS di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Sabah pada Rabu.
Menurutnya, program yang mengangkat tema “Persuratan Islam Teras Perpaduan Masyarakat Madani” itu disertai negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand dengan pembentangan kertas kerja serta membicarakan cabang persuratan Islam di samping memperkasakan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.
Ruslan turut berharap agar program berkenaan diperkasa dan dilaksanakan setiap tahun memandangkan kepentingannya dalam mengembangkan sastera Islam di Nusantara dan Sabah khasnya.
“Tahun hadapan, kita akan memperkasakan lagi program ini dengan menjemput makalah dari negara Singapura dan Filipina pula memandangkan penglibatan negara-negara luar dilihat sangat penting bagi kesesuateraan islam kepada masyarakat secara menyeluruh.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kita menyolong dari segi kewangan dan pengisiannya kita serahkan kepada penganjur dan makalah-makalah yang lebih mahir dalam memperkasakan lagi program ini seiring dengan perkembangan teknologi dan globalisasi, “ ujarnya ketika ditemui media.
Turut hadir, Presiden Badan Bahasa Dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani, Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka cawangan Sabah, Aminah Awang Basar dan Pengarah Jabatan Muzium negeri Sabah, Arif Abdul Hamid. — JABATAN PENERANGAN SABAH





