WASHINGTON – Anggota polis di New Mexico menembak mati seorang lelaki selepas tersilap alamat ketika menyiasat aduan keganasan rumah tangga yang diterima jabatan itu.
Satu rakaman video kamera badan dan audio 911 kejadian pada 5 April lalu itu dikeluarkan oleh Jabatan Polis Farmington, menunjukkan tiga pegawai tersalah mengetuk pintu rumah mangsa aduan.
Memetik laporan AFP, anggota polis menerima panggilan mengenai keganasan rumah tangga dari 5308 Valley View Ave tetapi rakaman menunjukkan pegawai tiba di sebuah rumah bertanda ‘5305’.
Ketua Polis, Steve Hebbe, mengarahkan pendedahan rakam video berkenaan di bawah undang-undang negeri dan atas keinginan untuk tampil dan telus dengan masyarakat Farmington, orang awam dan media berita.
Rakaman itu menunjukkan secara jelas beberapa anggota polis mengetuk pintu sebuah rumah beberapa kali sambil memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.
“Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Dotson dan sebagai ketua polis, saya ingin menyampaikan betapa saya sangat menyesal kerana tragedi ini berlaku,” katanya.
Terdahulu, rakaman menunjukkan pegawai mengetuk pintu beberapa kali dan meminta kakitangan di pejabat pengesahan alamat sama ada mereka berada di rumah yang sepatutnya.
Sejurus kemudian, seorang lelaki membuka pintu dan mengacukan senjata api ke arah pegawai, mendorong mereka mengeluarkan senjata masing-masing dan menembak lelaki berkenaan.
Menurut polis, mangsa, Robert Dotson, meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang wanita, kemudian dikenali sebagai isteri Dotson, muncul di pintu kira-kira seminit kemudian dan lebih banyak lagi tembakan kedengaran.
Polis mendakwa wanita berkenaan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Jabatan polis berkata, nama tiga pegawai yang terbabit tidak dapat dikeluarkan kerana siasatan sedang dijalankan.
Difahamkan, pihak berkuasa masih tidak jelas bagaimana semua pegawai terbabit, yang kini diarah bercuti dengan gaji untuk tempoh siasatan, mengunjungi alamat yang salah.
Dalam salah satu fail audio panggilan kecemasan 911, kedengaran tangisan anak perempuan, yang kedengaran berkata bahawa ibunya sedang meraung dan bapanya ditembak.
Kira-kira 40 peratus isi rumah Amerika Syarikat (AS) mempunyai senjata api, menurut Pusat Penyelidikan Pew.
Dianggarkan terdapat 44,000 kematian berkaitan senjata api di AS tahun lalu, kira-kira separuh daripadanya kes pembunuhan, kemalangan dan mempertahankan diri, malah separuh daripadanya membunuh diri, menurut pangkalan data Arkib Keganasan Senjata.
Ia menunjukkan bahawa 14 orang ditembak atau dibunuh dalam apa yang disebut arkib itu sebagai ‘kes membabitkan pegawai’ di New Mexico tahun ini.