PAPAR, SABAH – DUA (2) pencuri kabel yang bertindak merempuh kereta polis bagi meloloskan diri pada Rabu akhirnya ditangkap kelmarin selepas 36 jam diburu.
Suspek berusia 20 dan 35 tahun itu ditahan pada jam 4.40 petang di sebuah stesen minyak di Jalan Kimanis – Keningau kata Ketua Polis Daerah, DSP Batholomew Umpit.
Beliau berkata sepasukan anggota berjaya mengesan kedua saspek serta merampas Perodua Bezza yang digunakan dalam insiden rempuhan mereka berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam.
“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi bernilai kira-kira RM100,000…
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua saspek positif dadah Metaphemanine dan Amphetamine (syabu) selain masing-masing mempunyai empat kes jenayah lampau,” katanya.
Dua lelaki berkenaan akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh.
“Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat dan penduduk di sekitar dearah ini di atas maklumat dan kerjasama sehingga semua suspek yang dikehendaki ini diberkas,” katanya.
Pada Rabu, pihak polis cuba menahan dua suspek yang aktif melakukan kegiatan curi kabel sejak tahun lalu itu selepas berjaya menahan seorang lagi rakan mereka berusia 19 tahun.