Polis Kinabatangan Buru Warganegara Indonesia Kelar Leher Rakan Hingga Mati Ketika Mabuk

Polis Kinabatangan Buru Warganegara Indonesia Kelar Leher Rakan Hingga Mati Ketika Mabuk

0
SHARE

KINABATANGAN: Polis sedang memburu seorang warganegara Indonesia yang menikam mati rakan senegaranya selepas keramaian di sebuah ladang di sini pada Jumaat.

Suspek, Ricky Tenny, berusia 40-an, disyaki mabuk ketika kejadian dan turut menikam seorang lagi lelaki yang juga warga Indonesia sehingga menyebabkan pendarahan paru-paru kanan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, ASP Mohd Zulfikar Abd Salam berkata kedua-dua suspek dan mangsa sedang minum arak ketika majlis hari jadi seorang anak rakan mereka pada sebelah malam.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan si mati di dalam sebuah bilik rumah pekerja ladang menyebabkan suspek mengelar leher si mati menggunakan pisau.

“Seorang lagi mangsa yang tinggal berhadapan dengan rumah suspek keluar dari rumah dan melihat suspek memegang pisau berukuran lebih kurang 30 cm.

“Suspek kemudian meluru ke arah mangsa dan menikam mangsa di bahagian tengah dada. 

“Mangsa kemudian berjaya menendang suspek selepas ditikam menyebabkan suspek melarikan diri sambil membawa pisau yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zulfikar berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di leher dan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk bedah siasat.

Mangsa kedua dirawat di hospital sama untuk paru-paru berdarah dan juga patah tulang rusuk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya.

Dalam pada itu, orang ramai yang terelihat suspek digesa membuat laporan di balai polis berhampiran.