KOTA KINABALU, SABAH – Polis Kontinjen Sabah telah menangkap seramai 2,063 orang yang terlibat dalam penyeludupan kontraban dan perjudian haram sejak awal tahun ini sehingga bulan Oktober lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, individu terbabit berjaya dijerat dalam 1,540 buah serbuan yang dijalankan.
Beliau berkata berlakunya peningkatan serbuan yang signifikan iaitu sebanyak 1,082 serbuan dan tangkapan seramai 1,540 orang berbanding tahun sebelumnya (2020).
“Komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah terhadap usaha membanteras kegiatan perjudian haram tidak berlesen di negeri tidak terbatas setakat itu sahaja…
“Tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 atau POCA turut diambil kepada sindiket-sindiket perjudian ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 21 orang dikenakan tindkaan di bawah POCA pada tahun 2019 dan empat (4) orang setakat Oktober 2021.
Dalam pada itu, sebanyak 86 premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram tidak berlesen telah dipotong bekalan elektrik.
Tindakan itu dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka setelah sebanyak 162 permohonan dikemukakan kepada pihak Sabah Electricity (SESB).
“Tindakan ini disusuli oleh cadangan pembatalan lesen perniagaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah,” kata Idris.
Manakala rampasan penyeludupan kontraban bernilai RM 5.38 juta direkod pada tahun 2019 melalui 76 serbuan.
Angka itu meningkat kepada RM 6.98 juta pada tahun 2020 dan RM 29.04 bagi tahun ini masing-masing melalui 190 buah serbuan.
Idris berkata Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dan lain-lain dalam PDRM yang bertanggungjawab dalam mengekang kegiatan penyeludupan sekaligus membawa kepda peningkatan serbuan yang ketara.
“Tindakan serbuan ini disusuli dengan sitaaan, rampasan dan pertuduhan ke atas kumpulan-kumpulan yang menjalankan kegiatan tersebut…
“PDRM Sabah akan terus melancaran serbuan demi serbuan serta risikan maklumat terhadap kegiatan yang menyalahi peruntukkan undang-undang ini,” tambahnya.