Polis Siasat Individu Tular Masak Mi Segera Di Stesen Minyak

Polis Siasat Individu Tular Masak Mi Segera Di Stesen Minyak

0
SHARE

BENTONG: Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan aktiviti memasak me segera di kawasan sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, ACP Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan pada kira-kira 12 tengah hari kelmarin berhubung klip video memaparkan kegiatan individu itu yang tular media sosial, lapor Harian Metro.

“Hasil siasatan mendapati klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular di laman sosial X.

“Klip video berdurasi kira-kira 50 saat memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak stesen minyak berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, operasi bersepadu akan dijalankan di sekitar kawasan itu dengan lebih kerap terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu keterangan awam.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri.

“Mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.