Polis Tahan Wanita Tengking Polis Trafik Di SJR Kepayan

Polis Tahan Wanita Tengking Polis Trafik Di SJR Kepayan

0
SHARE
Zaidi (tengah) menunjukkan hasil rampasan kes, termasuk empat telefon bimbit petugas barisan hadapan (frontliners) dan pakaian suspek semasa insiden 1 Jun lalu...

KOTA KINABALU, SABAH – Polis telah menahan Nur Jawaheer Ismail, 34, atau lebih dikenali sebagai “Wawa Wahid (Enterprise)” berhubung insiden herdikan dan menengking membabitkan petugas awam sebuah Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kepayan pada 1 Jun yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

Sepasukan anggota bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu pada pukul 11.20 pagi kelmarin mengambil Wawa dari tingkat 7 sebuah kondominium yang terletak di Jalan Lintas.

Ketua Polis Daerah ACP Zaidi Abdullah berkata setakat ini Wawa memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang tempoh penahanan.

“Suspek kini disiasat di balai polis IPD Kota Kinabalu di mana keterangan beliau dan kawad cam akan diambil…

“Jika ini tidak dapat dibuat dalam masa 24 jam, kita akan bergerak untuk menahan reman selama tempoh dua (2) hari dengan kelulusan Timbalan Pendakwa Raya bagi membantu siasatan,” katanya.

Kata Zaidi tiada laporan polis dibuat pada hari insiden berlaku tetapi hanya selepas itu menjadi tular.

Hal itu katanya bukan berpunca dari provokasi atau sindiran daripada pihak polis seperti yang tersebar di laman Facebook.

“Hasil pertanyaan awal, Wawa membuat provokasi kepada pengadu berkenan dua kesalahan lalu lintas iaitu cukai dan insurans yang telah tamat tempoh…

“Dakwaan beliau menunggu proses pengeluaran saman sehingga mengambil masa 30 minit tidak betul. Tiada alasan bagi petugas polis mengambil masa yang begitu lama.

“Jarak meja polis dari kenderaan pun berdekatan. Kenyataan beliau tidak masuk akal,” katanya.

Jelas Zaidi, kekecohan tersebut dirakam salah seorang petugas awam di Sekatan Jalan Raya (SJR) tersebut secara spontan tetapi bukan tujuan untuk disebarkan.

“Siasatan sedang giat dijalankan terhadap kedua-dua pihak. Setelah selesai baru kita boleh mendapati punca insiden provokasi yang membawa kepada kesalahan tersebut…

“Sisatan juga melibatkan tujuh anggota polis termasuk seorang anggota RELA.

“Kita (polis) akan menggunakan kemuudahan teknologi untuk mengenal pasti siapa yang dahulu menyebarkan video tersebut,” katanya merumus kes tersebut yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.

Zaidi menasihati masyarakat untuk mengawal stress dan kemarahan diri dikala realiti pandemik mana kehidupan biasa terutamanya dari segi pergerakan tidak lagi sama seperti dahulu.

“Polis dipertanggungjawabkan bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menangani rantaian jangkitan COVID-19. Kita perlukan kerjasama dan hormat orang awam sepertimana yang kami beri…

“Jika ada kelemahan ataupun salah laku anggota polis di lapangan, orang awam boleh mengadu mengikut saluran yang betul termasuk berjumpa dengan saya secara terus, bukannya mengambil tindakan provokasi sehingga berlakunya insiden seperti ini,” katanya.

Barang peribadi suspek dirampas termasuk telefon bimbit dan kunci Toyota Harrier yang dipandu pada hari kejadian.

Dalam perkembangan lain, IPD KK telah mengeluarkan sejumlah 2036 kompaun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lalu.

Jumlah kompaun bagi PKP 3.0 melebih 300 keping kata Zaidi di mana kesalahan kerap adalah tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan sosial dan tidak mengimbas kod MySejahtera sebelum masuk ke dalam suatu premis.