Pratama Legacy Dari Sabah Berentap Johan Di Festival Tari Malaysia

Pratama Legacy Dari Sabah Berentap Johan Di Festival Tari Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pratama Legacy dibawah koreografer Achai Kiran telah dinobatkan sebagai johan Festival Tari Malaysia Peringkat negeri Sabah yang telah di adakkan pada 4 September 2022 sekaligus telah terpilih mewakili negeri Sabah ke Festival Tari Malaysia 2022 peringkat Kebangsaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Festival itu diadakan pada 18 hingga 19 Disember baru-baru ini anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ianya bertujuan untuk menyediakan ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya, memberi peluang kepada koreografer dan penari mempelajari dan mempamerkan persembahan berkualiti serta bermutu tinggi.

Menurut Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop, program ini antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang koreografi dan seni tari serta membantu dalam menyemarakkan seni dan budaya di Malaysia.

“Ia juga dapat memberikan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan budaya bangsa serta pembinaan keperibadian di kalangan masyarakat melalui seni tari.

“Kejayaan anak muda negeri Sabah ini membuktikan bahawa Sabah memiliki keunikan dan semangat cintakan warisan khazanah yang tinggi…

“Kumpulan ini telah banyak memenangi pertandingan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. 

“Semoga pada tahun-tahun mendatang akan lebih banyak kumpulan-kumpulan dari negeri Sabah yang akan berentap di Festival Tari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keyakinan dan semangat yang berkobar-kobar untuk membawa kejayaan kepada negeri Sabah itu bagaikan pencetus semangat 13 orang anak muda yang berentap di peringkat kebangsaan, akhirnya membuahkan hasil yang sangat membanggakan.

Hasil garapan dan juga susun atur gerak tari oleh koreografer Achai Kiran membuatkan para juri profesional memilih Pratama Legacy yang mewakili negeri Sabah diangkat sebagai johan untuk edisi tahun ini.

Sebanyak lapan kumpulan telah terpilih dari seluruh Malaysia untuk berentap di peringkat akhir. Kumpulan Nyala Dance telah dinobatkan sebagai penyandang Naib Johan manakala Tempat Ketiga oleh kumpulan Akar Seni Malaysia. 

Achai Kiran turut dianugerahkan Koreografer terbaik bagi kategori tarian etnik kreatif.

Ends