Program PANTAS Catat Kemajuan, Lebih 33,891 Hektar Tanah Berjaya Diukur – Isnin

Program PANTAS Catat Kemajuan, Lebih 33,891 Hektar Tanah Berjaya Diukur – Isnin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) terus mencatat kemajuan apabila berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan 33,891.181 hektar di seluruh negeri sepanjang tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026, sekali gus mempercepatkan proses pengeluaran geran tanah kepada pemohon yang layak.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aslianih berkata, bagi menjayakan program itu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM83 juta melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh berkenaan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 pula, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta telah diluluskan, termasuk RM1 juta yang disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur pada tahun ini bagi meneruskan pelaksanaan Program PANTAS.

“Sebanyak 53 pasukan juruukur kini digerakkan di seluruh Sabah bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah, manakala di daerah Kota Belud sahaja empat pasukan ditugaskan dan berjaya mengukur 5,347 lot melibatkan keluasan 2,998.590 hektar dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Usukan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di pejabat tanah daerah di seluruh Sabah.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur terus memperkukuh usaha mempercepatkan pemprosesan permohonan dan pengeluaran geran dengan meningkatkan pemantauan di setiap peringkat, melaksanakan pengukuran secara sistematik menggunakan peralatan moden serta memperkasa sistem pendigitalan jabatan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan tempoh penyelesaian setiap permohonan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk status tanah yang dipohon, isu pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal, kekangan tenaga kerja serta pematuhan kepada Ordinan Tanah Sabah dan dasar Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa.

Katanya lagi, menangani kekurangan tenaga kerja, Kerajaan Negeri kini dalam proses mengisi 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5.