Program Rintis Digital IoT Sandbox Bakal Meningkat Keupayaan Pembangunan Teknologi Belia Sabah

Program Rintis Digital IoT Sandbox Bakal Meningkat Keupayaan Pembangunan Teknologi Belia Sabah

0
SHARE
Yakub berucap pada majlis pelancara Digital IoT Sandbox hari ini...

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) pada hari ini dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Sabah Net melancarkan Program Rintis Digital IoT Sandbox (Sandbox IoT) yang pertama di Malaysia Timur iaitu Borneo dan Kelapan di Malaysia.

Program ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi untuk membentuk ekonomi negeri Sabah, serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Melalui Sandbox IOT ini dijangka menggalak pembabitan belia untuk menguji idea teknologi baru yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara langsung menggalakkan pembudayaan STI selain daripada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Majlis pelancaran Sandbox IoT ini telah dilaksanakan di Sabah International Convention Centre (SICC) dengan kehadiran secara fizikal yang terhad dan disiar secara dalam talian melalui facebook dan youtube. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) yang mewakili Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

Dalam ucapan perasmiannya, Yakub menyatakan bahawa Pelancaran Digital IoT Sandbox ini merupakan sebahagian daripada pengisian program Flagship di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk menggalakkan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di kalangan masyarakat di Sabah.

“Digital IoT Sandbox akan menjadi platform kepada innovator dan usahawan digital menghasilkan produk dan seterusnya menguji kebolehlaksanaannya produk tersebut.

“Sandbox IoT ini dijangka akan mengubah kehidupan rakyat Sabah melalui penggunaan dan pembangunan teknologi…

“Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem Internet Benda (IoT) dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inovasi negeri Sabah,” katanya.

Yakub menyakiskan penandatanganan MoU antara KSTI dan UITM…

Beliau berkata usaha pendigitalan akan memberi manfaat kepada pelbagai sektor, antaranya sektor-sektor perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pelancongan.

Percambahan aplikasi IoT dalam perindustrian di negeri Sabah dijangka akan menyumbang RM9.8 bilion kepada pendapatan negara kasar pada 2025.

“Sandbox IoT bakal bertindak sebagai pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT, yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan pembangunan produk dan perkhidmatan IoT.

“Antara impak awal yang disasarkan Sandbox IoT ini adalah pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat, manakala kadar pekerjaan dalam sektor IR4.0 dijangka akan meningkat sebanyak 30 peratus,” tambahnya.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah, serta KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Beliau berpendirian bahawa Majllis menandatangan MOU ini bukan merupakan awalan kepada kerjasama antara dua organisasi tetapi lebih sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia terjalin serta berharap agar MOU yang dijalinkan ini dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Melalui memorandum ini, KSTI bersama UiTM akan melaksanakan sebuah dialog antarabangsa dengan kerjasama Asia China Education and Culture (ACEC) Association yang akan melibatkan institusi, universiti serta pusat pengajian tinggi di China, katanya.

Dialog ini membicarakan tentang potensi kebersamaan dalam pembangunan sains dan teknologi di Sabah.

Selain itu, UiTM juga akan menjadi orang tengah yang menghubungkan KSTI bersama seluruh rakan strategik UiTM samada di dalam atau di luar negara bagi meningkatkan kualiti program-program berunsur STI yang bertaraf global.

Sebelum ini, kerjasama telahpun sedia terjalin dengan UiTM melalui penglibatan KSTI dalam Sabah International Virtual Innovation dan Invention Competition (SIVIIC) selama dua tahun berturut-turut.

Manakala memorandum bersama MRANTI adalah bertujuan untuk pelaksanaan Digital IoT Sandbox yang akan menjadi pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT, yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan dan juga kerjasama dalam menghubungkan pemain-pemain industri dengan inovator.

Beliau berharap inisiatif seumpama ini turut diwujudkan di Kementerian dan jabatan negeri yang lain agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada usaha ini.

“Kerjasama seperti ini akan diteruskan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi memastikan Sabah mampu memacu pembudayaan STI pada tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Ia juga merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan talent pool yang berdaya saing bagi menyokong pembangunan negeri Sabah,” Yakub berkata.