Program Transformasi Tenaga Kerja Peringkat Negeri Sabah 6 Mei Ini

Program Transformasi Tenaga Kerja Peringkat Negeri Sabah 6 Mei Ini

0
SHARE
Jtk
Noraini (kanan) menyerahkan cenderakenangan kepada Jainisah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Transformasi Tenaga Kerja Melalui Latihan, Produktiviti dan Gaji Tahun 2024 Peringkat Negeri Sabah akan berlangsung 6 Mei ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Sabah, Noraini Ithnin berkata dijangka 200 orang akan menyertai program itu yang merupakan kolaborasi Majlis Perundingan Gaji Negara dan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Program tersebut akan dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.

“Manakala, pada sebelah malam akan diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 Zon Sabah melibatkan 32 kesatuan yang akan menerima dana kewangan sebanyak RM280,000.

“Penerima bantuan terdiri daripada enam kluster iaitu latihan dan program pendidikan, kajian pergerakan kesatuan sekerja, penulisan ilmiah isu-isu perburuhan berkaitan kesatuan kekerja, pembelian peralatan ICT, pembangunan modul E-learning berbentuk video simulasi serta pembelian insurans kelompok kali pertama.

“JHEKS menyelaras sebanyak 136 kesatuan di Sabah meliputi hal- hal berkaitan peruntukan undang-undang dibawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 terutama dalam hal – hal pentadbiran dan kewangan kesatuan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, pada Isnin.

Beliau ditemubual media selepas perjumpaan bersama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Jainisah Mohd Noor yang membincangkan kerjasama strategik dalam penganjuran program bersama dan membantu dalam menyebar luas fungsi JHEKS Sabah kepada orang ramai.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Kesatuan Sekerja Wilhelmina Janing, Pegawai Kesatuan Sekerja Ahmad Shahrizat Amrin, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Dr. Diana Dominic dan KPP Bahagian Media Siber JaPen, Geraldine Voo Yee Wen. — JABATAN PENERANGAN SABAH