Projek HATC di Gunung Kinabalu Bukan Pembangunan Haram, Namun Pematuhan Syarat Tetap...

Projek HATC di Gunung Kinabalu Bukan Pembangunan Haram, Namun Pematuhan Syarat Tetap Wajib – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU: Projek pembinaan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di Gunung Kinabalu bukan pembangunan tanpa kelulusan, namun setiap aktiviti pembinaan tetap diwajibkan mematuhi spesifikasi, syarat alam sekitar serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, HATC bukan projek baharu yang dirancang tanpa perancangan, sebaliknya telah dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015 sebelum pelaksanaannya ditangguhkan susulan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun sama.

Katanya, inisiatif itu kemudian dihidupkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian usaha Sabah mempelbagaikan produk pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung bertaraf antarabangsa.

“Walaupun projek ini telah memperoleh kelulusan yang diperlukan, ia tidak bermakna mana-mana pihak dikecualikan daripada mematuhi syarat, spesifikasi teknikal dan keperluan kawal selia yang ditetapkan.

“Kementerian akan memastikan semua spesifikasi yang diluluskan dipatuhi dan pelaksanaan projek kekal selaras dengan piawaian alam sekitar serta keselamatan yang ditetapkan bagi kawasan warisan semula jadi yang sensitif dan mempunyai kepentingan antarabangsa ini,” katanya dalam kenyataan, Ahad.

Jafry menegaskan kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat atau gagal mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan.

Malah, katanya, kementerian akan mempertimbangkan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Taman-Taman Sabah serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan semua aktiviti pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi, langkah perlindungan alam sekitar dan syarat kelulusan.

Beliau berkata, penggunaan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular dalam projek itu bertujuan meminimumkan gangguan terhadap persekitaran, selain mengelakkan penggunaan jentera berat sepanjang kerja pembinaan.

Struktur berkenaan juga direka bentuk untuk menahan tiupan angin kencang serta keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi.

Menurutnya, pembangunan itu melibatkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus altitud tinggi, termasuk proses penyesuaian tubuh terhadap altitud, latihan teknikal pendakian serta pengenalan kepada penggunaan peralatan pendakian khusus.

Kemudahan berkenaan turut menyasarkan pendaki yang membuat persediaan untuk ekspedisi ke destinasi pendakian bertaraf dunia seperti Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.

Jafry berkata, kedudukan Gunung Kinabalu yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, selain mempunyai infrastruktur pendakian sedia ada dan landskap geologi yang diiktiraf antarabangsa, memberikan kelebihan untuk menarik kelab serta organisasi pendakian dari dalam dan luar negara.

Katanya, HATC juga berpotensi mewujudkan peluang ekonomi tambahan kepada masyarakat setempat dan industri pelancongan, selain menyokong matlamat Taman Geopark Global UNESCO Kinabalu menerusi pembangunan geopelancongan yang bertanggungjawab dan mampan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan pelancongan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan keutuhan ekologi serta warisan budaya Gunung Kinabalu yang mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat peribumi Sabah.

“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan mendalam dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat peribumi kita.

“Pembangunan tidak boleh mengorbankan pemuliharaan, begitu juga kemajuan tidak boleh mengetepikan nilai budaya dan tradisi masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan keprihatinan orang ramai terhadap aktiviti pembinaan di gunung berkenaan, namun berharap perbincangan awam mengenai projek itu berpandukan maklumat tepat serta pemahaman jelas mengenai tujuan dan skop pembangunannya.

Jafry menegaskan kerajaan negeri komited memastikan pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar bergerak seiring demi melindungi Gunung Kinabalu sebagai warisan semula jadi Sabah untuk generasi akan datang.