KOTA BELUD: Projek pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di Kota Belud berjalan lancar dan mengikut jadual tanpa sebarang isu kritikal dilaporkan, demikian menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Lawatan kerja beliau ke tapak projek semalam merupakan sebahagian daripada siri turun padang ke Sabah bagi memantau kemajuan projek-projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Projek gantian penuh SK Nanamun ini merangkumi 12 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain, melibatkan kos pembinaan sebanyak RM17.3 juta.
“Projek tersebut dilaksanakan secara reka dan bina olehPasukan Projek Khas 2 JKR Malaysia dengan Syarikat Tenom Quarry sebagai kontraktor utama. Pembinaan dimulakan pada 14 Julai 2022 dan dijangka siap pada 8 Ogos 2025,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tapak seluas 4.55 ekar itu bakal menempatkan beberapa blok baharu termasuk blok pentadbiran, akademik, kantin, surau, bilik komputer, dewan serbaguna, perpustakaan, pusat kesihatan, menara tangki air, loji rawatan kumbahan serta pencawang Sabah Electricity (SE).
Ahmad Maslan menyifatkan pembinaan semula sekolah itu sebagai amat penting berikutan keadaan bangunan lama yang telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan.
Projek ini juga dijangka menyokong peningkatan enrolmen murid serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi guru dan pelajar.
Beliau turut mengingatkan agar pegawai penguasa projek dan pihak JKR terus memantau pelaksanaan secara berterusan dan membimbing kontraktor agar projek disiapkan mengikut jadual, bajet dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam aspek kesejahteraan, ihsan dan kemampanan melalui penyediaan infrastruktur pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.






