TUARAN: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menyatakan keyakinannya bahawa gabungan GRS–Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRU Sabah-17).
Hajiji berkata demikian selepas memfailkan borang pencalonannya di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu.
Beliau, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan penyandang kerusi DUN Sulaman, tiba pada jam 9 pagi bersama kepimpinan GRS dan ribuan penyokong yang turut mengiringinya.
Turut hadir ialah penyandang DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; serta calon baharu DUN Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface. Kesemua mereka turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
Pada pilihan raya kali ini, Hajiji berdepan saingan lima penjuru di Sulaman, manakala Jasnih berdepan tujuh penjuru di Pantai Dalit.
Joniston pula bertanding dalam persaingan lapan penjuru di Kiulu, dan Dr. Bonaventure berdepan pertandingan 13 penjuru di Tamparuli — antara kerusi paling sengit PRU Sabah-17.
Mengulas persaingan di Sulaman, Hajiji kekal optimis bahawa GRS mampu meraih kemenangan besar.
“Sesiapa sahaja boleh bertanding, itu demokrasi. Namun saya yakin calon GRS akan menang dengan majoriti besar,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli Gagasan Rakyat atau GRS yang bertanding sebagai calon Bebas.
“Kita boleh terima parti lain bertanding, tetapi ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang memilih menjadi calon Bebas akan dipecat,” tegas beliau.






