TENOM, SABAH – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Tenom.
Selain itu, beliau juga turut mengumumkan KDM bakal bertanding dua lagi kerusi Parlimen membabitkan Pensiangan dan Keningau.
Walau bagaimanapun, beliau belum mengumumkan calon dari KDM yang bakal bertanding untuk kedua-dua kerusi berkenaan disamping menjelaskan baki calon lain akan diumumkan sebelum 3 atau 4 November depan.
Dalam pada itu, Peter turut memaklumkan masih ramai yang menghubungi pihaknya bagi mengemukakan permohonan untuk menyertai dan bertanding dalam PRU-15 atas tiket parti KDM.
“Kita masih sedang mempertimbangkannya di peringkat pimpinan tertinggi KDM sama ada kita akan membenarkan mereka (bertanding) menggunakan logo kita atau sebaliknya…
“Ini kerana tapisan kita perlu buat terlebih dahulu sebelum membenarkan calon-calon yang kita rasa boleh menang atau memberi saingan di kawasan-kawasan lain.
“Tapi saya percaya untuk kawasan yang telah kita umumkan (untuk bertanding dalam PRU15), jentera KDM telah kita persiapkan sepenuhnya. Selepas hari penamaan calon nanti semua jentera akan melaksanakan tugas masing-masing.
“Saya berharap agar pilihan raya pada kali ini merupakan satu pilihan raya yang bersih dan pilihan raya yang akan membolehkan negara kita ini membuat perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Orow Pasimpungan Bersama Masyarakat PDM Saga, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, dilaporkan Peter Anthony dalam dua sidang media berasingan telah mengumumkan seramai empat orang calon yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kimanis dan Sepanggar.