RANAU: Ladang kopi di Kampung Toboh Lama, Ranau mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori Highest Altitude Coffee Plantation, sekali gus membuktikan potensi daerah itu sebagai pengeluar kopi premium bernilai tinggi.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian negara, malah membuktikan kemampuan petani tempatan menghasilkan produk pertanian berkualiti.
“Ini bukan sekadar satu rekod negara. Ia membuktikan bahawa petani di Ranau mampu menghasilkan sesuatu yang istimewa dan bernilai tinggi.
“Sebagai anak Ranau, saya mahu kejayaan ini membawa manfaat ekonomi yang sebenar kepada penduduk. Petani kita tidak harus melihat diri mereka sekadar sebagai pengeluar hasil ladang, tetapi sebagai usahawan yang mempunyai tempat dalam rantaian industri kopi premium,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran The Malaysia Book of Records Highest Altitude Coffee Plantation 2026 di Kampung Toboh Lama, Ranau, baru-baru ini.
Masidi berkata, potensi industri kopi Ranau amat besar apabila kopi specialty dari daerah itu dilaporkan mampu dijual pada harga RM50 hingga RM65 bagi setiap pek 250 gram.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bersama Jabatan Pertanian menyediakan pelan tindakan pembangunan industri kopi Ranau, merangkumi kemudahan pascatuai, latihan, mekanisasi, penyelidikan dan peluasan jaringan pemasaran.
Katanya, industri itu juga berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan menerusi cadangan Coffee Trail Ranau yang membolehkan pengunjung mengenali ladang kopi tanah tinggi serta proses pengeluarannya.
Beliau turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda dan meningkatkan kualiti kopi tempatan bagi menembusi pasaran premium termasuk di peringkat antarabangsa.
“Bagi saya, ukuran sebenar kejayaan bukan hanya nama Ranau tercatat dalam buku rekod. Kejayaan sebenar ialah apabila lebih ramai petani meningkatkan pendapatan, anak muda mendapat peluang pekerjaan dan masyarakat kampung menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.






