Redonah Dilantik Pengerusi Baharu Sedcovest Holding Sdn Bhd

Redonah Dilantik Pengerusi Baharu Sedcovest Holding Sdn Bhd

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, dilantik sebagai Pengerusi baharu Sedcovest Holding Sdn Bhd dan secara rasmi memulakan tugasnya pada Selasa di pejabat syarikat berkenaan di Wisma Sedco Wawasan Plaza, di sini.

Ketibaan Redonah disusuli sesi taklimat ringkas mengenai operasi serta hala tuju Sedcovest yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Abd Rahim Md Zain bersama barisan pengurusan syarikat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah serta tanggungjawab besar untuk memastikan Sedcovest terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berdaya saing dan mampan.

Redonah menegaskan komitmennya untuk memperkasa pembangunan ekonomi yang inklusif, khususnya di peringkat akar umbi, melalui penyediaan peluang latihan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan perniagaan serta peluasan pasaran kepada wanita yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dalam lawatan sulungnya, Redonah turut dibawa melawat premis perniagaan serta kemudahan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) yang baharu di Anjung Selera, Teluk Likas, bagi meninjau potensi dan kemudahan sokongan kepada usahawan.

Turut hadir dalam sesi taklimat berkenaan ialah Pengurus Kewangan dan Akaun, DK Elymanizan Pg Masri; Pengurus Pembangunan Usahawan, Nor Jahan Yaakub; Pengurus Pembangunan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Cannisius Ebin Gon; Pengurus Pembangunan Projek dan Perniagaan, Malizah Oldy; serta Pengurus Pengurusan Hartanah, Dayang Hanizah Mohd Yusop.