Remaja Lelaki Ditahan, Curi Telefon Bimbit Jemaah Masjid Bandar di Tawau

Remaja Lelaki Ditahan, Curi Telefon Bimbit Jemaah Masjid Bandar di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang remaja lelaki diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kes curi sebuah telefon bimbit milik seorang jemaah di Masjid Bandar, Tawau pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada 23 September lalu kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika mangsa, seorang lelaki warga emas, terlelap selepas menunaikan solat Zuhur di masjid berkenaan.

“Ketika bangun, mangsa mendapati telefon bimbit berjenama miliknya telah hilang. Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah mengambil peranti tersebut,” katanya.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) IPD Tawau telah menahan suspek warga tempatan berusia 18 tahun di kawasan kaki lima bangunan kedai di Jalan Cole Adams kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebuah telefon bimbit jenis Realme yang dipercayai dicuri daripada mangsa. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, masing-masing pada tahun 2022 dan 2024.

Ujarnya ,kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tegas beliau, orang ramai diingatkan supaya tidak cuai ketika berada di tempat awam dan tidak sesekali meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan serta laporkan segera kepada polis sekiranya mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan.