NEW DELHI, INDIA – Lebih 2,500 penduduk India telah ditipu oleh doktor dan petugas kesihatan di negara itu apabila disuntik vaksin palsu COVID-19 yang dipercayai menggunakan air garam.
Memetik laporan CNN, doktor dan petugas kesihatan berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Pada masa yang sama, Jurucakap Polis Mumbai iaitu Vishal Thakur berkata, sekurang-kurangnya ada 12 tempat vaksinasi palsu didirikan di Maharashtra, Mumbai.
“Mereka melakukan penipuan di setiap pusat vaksinasi palsu yang dibangunkan dan menyuntik mangsa dengan air garam…
“Kira-kira 2,500 individu telah disuntik dengan air garam, setakat ini,” kata Thakur.
Katanya, pengendali vaksinasi palsu turut memberi kadar tertentu untuk setiap suntikan.
“Jumlah keuntungan daripada penipuan itu mencecah AS$28,000 (kira-kira RM116,438)…
“Kami sudah menangkap doktor terbabit. Mereka menggunakan hospital yang mengeluarkan sijil palsu, vial (bebuli) dan jarum suntikan,” katanya.
Terdahulu pada Isnin, CNN melaporkan 14 individu telah ditangkap kerana disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan suntikan palsu vaksin COVID-19.
Mereka yang ditahan didakwa melakukan penipuan, cubaan pembunuhan, konspirasi jenayah dan pertuduhan lain.
Thakur mengatakan, ada kemungkinan lebih ramai suspek terbabit kerana polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Sementar itu, portal berita News18 turut melaporkan bahawa penipuan vaksin COVID-19 itu, terjadi antara Mei hingga awal bulan lalu.
Pihak berkuasa mula menjalankan siasatan selepas beberapa mangsa meluahkan rasa curiga dengan sijil vaksinasi yang mereka terima.
“Tidak ada anggota kami yang mengalami gejala (Covid-19) dan kami juga harus membayar tunai…
“Ketika itu, kami mula curiga,” kata seorang mangsa menceritakan pengalaman dilalui di salah satu pusat vaksinasi palsu di wilayah perumahannya.