Ribuan Rakyat Sabah Bersesak Di Pintu Masuk Labuan Akibat Ujian Saringan COVID-19

Ribuan Rakyat Sabah Bersesak Di Pintu Masuk Labuan Akibat Ujian Saringan COVID-19

0
SHARE

LABUAN – Ribuan rakyat Sabah yang kembali ke pulau ini setelah mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, bersesak dan terlewat pulang ke rumah kerana wajib melalui ujian saringan COVID-19, sebaik tiba di lapangan terbang dan dua terminal feri di sini, semalam.

Keadaan kesesakan ini bermula sejak Ahad lepas dan ia dijangka berlanjutan hingga hujung minggu ini berikutan pengundi yang bermastautin dan bekerja di Labuan, pulang ke sini.

Hujung minggu lepas, hampir 6,000 penduduk pulang melalui Lapangan Terbang Labuan, Terminal Feri Labuan Ro-Ro dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, demikian menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Jabatan itu telah menyediakan 16 pusat ujian COVID-19 dan mendirikan khemah serta menyediakan kerusi di Klinik Kesihatan Membedai, katanya kepada Bernama.

Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua individu yang pulang dari Sabah, agar menjalani ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk seluruh negara, sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Semalam, kes COVID-19 di Sabah dilaporkan mencecah sebanyak 1,769 dengan 869 telah pulih dan 12 kes kematian.

Di seluruh negara, jumlah kes meningkat kepada 11,034, dengan 9,889 telah pulih dan 134 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan akan dilakukan mulaiĀ  27 Sept hingga 10 Okt.

Dr Ismuni berkata, bagi memudahkan orang ramai dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk, beberapa kakitangan kesihatan telah ditempatkan di atas feri Ro-Ro dan mengedarkan borang yang perlu diisi pelawat sebelum menjalani ujian.

“Ketika pelawat turun dari feri, mereka akan menyerahkan borang yang lengkap kepada petugas kesihatan di terminal sebelum menjalani ujian. Sekiranya, jumlahnya terlalu ramai tinggi, ujian akan dijadualkan pada hari berikutnya di Klinik Kesihatan Membedai. Kami akan melakukan yang terbaik untuk meredakan kesesakan … mereka yang mempunyai anak kecil dan bayi akan diberi keutamaan, “ katanya.

Dr Ismuni berkata, keputusan ujian akan diketahui sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

Pada Ahad, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu wartawan bahawa mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah tidak perlu dikuarantin selama 14 hari, jika telah diuji negatif semasa pemeriksaan di lapangan terbang.