KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) akan menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi tujuan kebajikan masyarakat Sabah, hasil kutipan penajaan dan yuran penyertaan Kejohanan Golf Amal SEC 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman berkata, daripada jumlah itu, RM150,000 akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah, manakala baki RM50,000 diagihkan kepada badan kebajikan lain di negeri ini yang akan dikenal pasti kemudian.
Kejohanan bertemakan “Swing with Purpose. Drive for Impact.” itu berlangsung di Sutera Harbour Golf & Country Club, di sini, pada Sabtu, dengan penyertaan penaja, rakan perniagaan dan peserta yang bersama-sama menyokong usaha kebajikan.
Katanya lagi, tanggungjawab membangunkan Sabah bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi usaha menjaga kesejahteraan rakyat.
“Ada keluarga yang memerlukan sokongan untuk memenuhi keperluan asas. Ada anak-anak yang memerlukan peluang untuk meneruskan pendidikan. Ada juga yang sedang membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah.
“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis selepas kejohanan berkenaan.
Adzmir turut menegaskan bahawa setiap sumbangan yang diterima merupakan amanah yang perlu diurus secara bertanggungjawab bagi memastikan ia disalurkan mengikut tujuan kebajikan yang ditetapkan.
“Setiap sumbangan ialah amanah. Kami menghargai kepercayaan ini dan komited untuk memastikan sumbangan yang diterima diurus dengan bertanggungjawab serta disalurkan bagi tujuan kebajikan yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu melengkapi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEC dalam bidang pendidikan, kebajikan dan alam sekitar yang dilaksanakan berdasarkan keperluan masyarakat.
Sementara itu, SEC turut merakamkan penghargaan kepada penaja Platinum, Sepangar Bay Power Corporation Sdn. Bhd., serta penaja Gold iaitu Supreme LNG, Gamuda Berhad dan Sistem Konsult Sdn. Bhd., selain semua penyumbang dan peserta yang menjayakan kejohanan berkenaan.
Adzmir berharap kerjasama antara komuniti korporat itu dapat diteruskan bagi memperluas manfaat kepada masyarakat Sabah, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.
“Semoga persahabatan yang dieratkan hari ini menjadi kekuatan untuk kita meringankan beban dan membuka peluang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.






