RM29 Juta Perkasa Industri Francais, Lahir Usahawan Wanita dan Belia – Armizan

RM29 Juta Perkasa Industri Francais, Lahir Usahawan Wanita dan Belia – Armizan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM29 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh industri francais tempatan serta melahirkan lebih ramai usahawan, khususnya dalam kalangan wanita dan belia Bumiputera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, RM20 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program PERNAS SME & Francaisor Financing Scheme (PSFS) di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Katanya, pembiayaan itu merangkumi modal permulaan dan modal kerja bagi pembangunan premis perniagaan, pengubahsuaian, pembelian peralatan serta penyediaan stok awal.

“Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9 juta di bawah program Be Your Own Boss (BYOB) yang menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan francais dalam kalangan wanita dan belia Bumiputera.

“Melalui BYOB, peserta akan mengikuti latihan berstruktur, padanan perniagaan, bantuan pembiayaan serta pemantauan selama enam bulan selepas memulakan perniagaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memperkukuh ekosistem francais dengan memperluas penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai francaisor tempatan.

Menurutnya, berdasarkan rekod MyFEX 2.0 sehingga 27 Oktober lalu, sebanyak 3,681 pendaftaran francais direkodkan, merangkumi 489 francaisor dan francaisor induk serta 3,192 francaisi.

Daripada 489 pendaftaran francaisor itu, sebanyak 304 atau 62.2 peratus merupakan francaisor tempatan.

Beliau berkata, pembangunan industri francais bukan sekadar meningkatkan bilangan cawangan perniagaan, tetapi turut memperkukuh keupayaan PMKS untuk mengembangkan jenama ke pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, KPDN melalui PERNAS menggalakkan pembangunan pakej francais yang berdaya maju dan mampu milik, selain menyediakan kemudahan pembiayaan, latihan serta khidmat nasihat kepada usahawan yang layak.