Rogol Beramai-Ramai, 4 Lelaki Dihukum 15 Tahun Penjara

Rogol Beramai-Ramai, 4 Lelaki Dihukum 15 Tahun Penjara

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Mahkamah Seksyen Johor Bahru, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap empat lelaki selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan beramai-ramai, dua tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, 21, Mohamad Ridzuan Mohd Asri, 21, Muhammad Saiful Fauzi, 20; Muhammad Azlan Md Lazan, 21, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Seorang lagi tertuduh, yang juga pesalah juvana berusia 18 tahun, turut didapati bersalah, namun mahkamah menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa secara berkumpulan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika kejadian di tandas awam sebuah taman rekreasi di Taman Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru, antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, 30 September 2015.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Hussin Othman.

Sepanjang perbicaraan antara pada Januari 2016 hingga September lalu, seramai 16 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil.

Difahamkan, pegawai penyiasat kes, Inspektor Intan Maslindah Abdul Azias sudah menyenaraikan seorang suspek yang masih bebas dal kejadian itu sebagai individu yang dikehendaki polis kerana masih gagal dikesan.

Suspek yang hanya dikenali sebagai Nabil itu diminta untuk menyerah diri kepada polis.