LAHAD DATU: Sebuah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Silam Pengkalan, di sini, pagi Isnin, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 pagi sebelum sepasukan 15 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 8.55 pagi, kebakaran didapati melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan kira-kira 5 x 10 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera FRT dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.
“Pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.28 pagi,” katanya.
PKPgB Sumsoa memaklumkan, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Operasi diketuai oleh PBKI Mohd Su’ait Bin Mohammad dengan kekuatan logistik melibatkan tiga jentera, masing-masing FRT, LFRT dan FRV.






