Sabah Akan Terima Hampir Lima Kali Ganda Geran Tahunan – Dr Maximus

Sabah Akan Terima Hampir Lima Kali Ganda Geran Tahunan – Dr Maximus

0
SHARE
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili...

KUALA LUMPUR, SABAH – Perjuangan tuntutan Kerajaan Sabah selama lima dekad terhadap Kementerian Kewangan Persekutuan berkahir baru-baru ini kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau mendedahkan bahawa kedua-dua kementerian kewangan Persekutuan dan Negeri telah memberi taklimat kepada Kabinet masing-masing hari ini mengenai hasil perundingan yang dicapai ketika mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama.

Mesyuarat itu mengenai semakan geran tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara kementerian kewangan Persekutuan dan Negeri, dan difahamkan kedua-dua pihak telah mengesahkan semua resolusi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak walaupun tidak berkompromi terhadap tuntutan undang-undang dan hak perlembagaan masing-masing, Ongkili menambah bahawa beliau amat berbangga dengan Kerajaan Sabah atas kesungguhan dan kerja keras mereka dalam mendapatkan apa yang sepatutnya, walaupun terpaksa menunggu selama lima dekad.

“Negeri akan menerima peningkatan hampir lima kali ganda dalam geran tahunan iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu kepada kerajaan pimpinan Warisan…

“Ia membuktikan keupayaan dan kapasiti Kerajaan Negeri GRS (Gabungan Rakyat Sabah) untuk mempertahankan hak Sabah dan memelihara hubungan baik persekutuan-negeri bagi memastikan kemakmuran ekonomi rakyat Sabah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Dr. Maximus dalam mesyuarat pada Isnin di Kota Kinabalu bagi pihak Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) mendedahkan formula geran baharu itu akan ditandatangani dan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat MKMA63 seterusnya yang dijadualkan awal bulan depan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di pihak Kerajaan Persekutuan, manakala Menteri Kewangan II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mengetuai pasukan Sabah, terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Peguam Negara Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof , penasihat undang-undang dan pegawai kanan kewangan.