KOTA KINABALU, SABAH – Sabah bersetuju dengan pendirian Sarawak bahawa cadangan Rang Undang-undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) baharu yang akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini tidak sepatutnya meliputi kedua-dua negeri terbabit.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata terdapat pemisahan yang jelas dalam bidang kuasa secara perlembagaan bahawa kedua-dua perkara tanah dan perhutanan adalah perkara di bawah Senarai Negeri dan di bawah bidang kuasa kerajaan Sabah.
“Sabah juga merupakan negeri penggerak pertama yang melihat hasil dan peluang sosio-ekonomi yang timbul daripada pasaran global untuk kredit karbon…
“Sabah sebenarnya telah menandatangani perjanjian yang diperlukan untuk menjana sumber pendapatan baharu bagi Negeri daripada jualan kredit karbon daripada 2 juta hektar hutan tropika sambil memeliharanya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Dr Jeffrey juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pemandu dan Pemantauan Karbon Negeri Sabah.
Dengan program penjanaan kredit karbonnya, Sabah walaupun sudah menjadi Negeri negatif karbon, akan terus menyumbang kepada matlamat perubahan iklim Malaysia dan membantu negara dalam mencapai Sumbangan Yang Ditentukan Secara Nasional (NDC).
Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan karbon seluruh ekonomi tanpa syarat sebanyak 45 peratus dari segi KDNK berbanding pada tahap 2005.
“Dengan program pengurangan karbonnya sendiri, Sabah sudah maju dan berada pada kedudukan yang baik untuk bertanggungjawab ke atas potensi kredit karbonnya di bawah undang-undang tanah dan perhutanan Sabah sendiri dengan atau tanpa cadangan undang-undang CCUS baharu kerajaan Persekutuan.
“Seperti yang diiktiraf di bawah Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan, kawasan tanah Sabah termasuk tanah di bawah air dan sempadannya menjangkau ke pelantar benua sejak 1954.
“Faedah sosio-ekonomi program kredit karbonnya adalah selaras dengan visi Negeri untuk membangunkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 dan dalam proses menggubal undang-undang penangkapan dan penggunaan karbonnya sendiri serta mengemas kini Enakmen Hutan 1968 termasuk menjadikan karbon sebagai hasil hutan.
“Justeru, tiada keperluan untuk CCUS diperluaskan ke Sarawak dan Sabah seperti yang dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Putrajaya Jumaat lalu,” tegas Jeffrey.