KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan perubatan tradisional bertaraf antarabangsa dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti serta pengetahuan tradisional masyarakat tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, khazanah biodiversiti dan pengetahuan masyarakat tempatan perlu didokumentasikan serta dikaji secara bertanggungjawab bagi meneroka potensinya dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, penyelidik tempatan juga perlu memanfaatkan peluang itu untuk mengkaji dan memperkenalkan produk herba serta amalan perubatan tradisional Sabah ke peringkat antarabangsa.
“Saya berharap para penyelidik tempatan dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengkaji dan memperkenalkan produk herba serta amalan tradisional Sabah ke peringkat antarabangsa secara bertanggungjawab.
“Dalam mengembangkan pendekatan kesihatan, keselamatan pesakit dan bukti saintifik mesti sentiasa diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif dan Komplementari Ke-2 (ICIM 2026) di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, usaha penyelidikan berkenaan perlu dilaksanakan dengan persetujuan dan penglibatan komuniti tempatan, selain memastikan sumbangan mereka diiktiraf serta manfaat penyelidikan dikongsi secara adil.
Katanya, penghormatan terhadap amalan tradisional juga perlu disertai penilaian saintifik yang teliti bagi memastikan keberkesanan, mutu dan kesesuaiannya dalam penjagaan kesihatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, pihak kesihatan, pengamal dan komuniti bagi memperkukuh penyelidikan serta membantu masyarakat membuat pilihan kesihatan berdasarkan maklumat yang jelas.
Beliau turut berharap Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memainkan peranan menghubungkan ilmu akademik, perkhidmatan kesihatan dan pengetahuan tempatan melalui kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta rakan profesional.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kepelbagaian etnik, bahasa, kepercayaan dan adat resam di Sabah turut memberikan kelebihan kepada negeri ini dalam menyumbang kepada perkembangan perubatan integratif.
“Perubatan integratif menggalakkan pendekatan kesihatan yang menyeluruh, termasuk pencegahan, pemakanan, gaya hidup, kesejahteraan mental dan sokongan keluarga.
“Pembangunan Sabah perlu disertai usaha membina masyarakat yang sihat dan berdaya tahan, daripada kanak-kanak hingga warga emas,” katanya.
Menurutnya, penganjuran ICIM 2026 juga selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta hab pelancongan perubatan.
Beliau berkata, persidangan dua hari yang menghimpunkan ahli perubatan, penyelidik, pengamal dan pendidik itu diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama tempatan dan antarabangsa melalui penyelidikan bersama, latihan profesional serta program komuniti.
“Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan mutu kesihatan rakyat. Marilah kita manfaatkan platform ini untuk menghasilkan idea dan kerjasama yang menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif, mampu milik dan berkesan,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Perubatan Malaysia, khususnya Jawatankuasa Perubatan Integratif, dan UMS atas kerjasama menganjurkan persidangan berkenaan.






