Sabah Catat 5 Kematian Akibat COVID-19, Hanya Daerah Beluran Zon Hijau

Sabah Catat 5 Kematian Akibat COVID-19, Hanya Daerah Beluran Zon Hijau

0
SHARE
Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 02 Julai 2021...(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Terdapat kenaikan dua kes dari sebelum ini yang membawa kepada jumlah 230 KES baharu positif COVID-19 di Sabah kelmarin (Jumaat).

Juga dilaporkan LIMA (5) KES kematian iaitu dua (2) kes di Lahad Datu, manakala Kunak, Sandakan dan Kudat masing-masing mencatatkan satu (1) kes.

Satu kluster baharu, Tanjung Pitas di daerah Pitas juga dikesan, demikian menurut Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Jelasnya, kluster tersebut tular dalam komuniti nelayan di Mukim Mapan-Mapan.

“Kluster ini mula direkodkan di Hospital Pitas melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, seorang suri rumah, 26, dari Kampung Naruntung pada 27 Jun. Berikutan kes tersebut, 20 lagi kes positif hasil saringan kontak telah dijalankan…

“Seorang daripadanya adalah suami kepada kes indeks yang bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan di Kampung Taritipan di Kota Marudu.

“Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 43 kes setelah 22 kes baharu dicatatkan pada 1 Julai,” jelas Masidi.

Tambahnya lagi, terdapat dua kemungkinan yang menjadi punca jangkitan iaitu pergerakan penduduk kampung ke Pulau Banggi, Kudat sepanjang bulan Mei serta Jun dan pergerakan peraih ikan di Kampung Naruntung yang menjual ikan di kawasan Pitas dan Kota Marudu.

Dalam pada itu, hanya satu ZON HIJAU lagi tinggal di Sabah iaitu di daerah Beluran.

“Lima lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Siasai Dundau dan Pantai Emas di Kota Belud, Kampung Naruntung di Pitas, Kampung Iban Kuala Nansang di Tawau dan Kampung Babagon di Penampang…

“Perintah ini akan berkuat kuasa bermula 4 sehingga 17 Julai,” tambah Masidi.