TUARAN: Sabah kini muncul sebagai negeri dengan jumlah masjid tertinggi di Malaysia iaitu 1,127 buah, selain 1,222 surau yang tersebar di seluruh negeri, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka untuk bermegah, tetapi menjadi bukti kesungguhan kerajaan dan rakyat dalam menjadikan rumah ibadah sebagai pusat pembangunan ummah.
“Yang penting, masjid dan surau ini terus diimarahkan dengan ilmu, dakwah, pendidikan dan perpaduan, agar ia bukan hanya megah pada nama, tetapi juga berfungsi pada pencapaian,” katanya ketika merasmikan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik Hujung, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, pembinaan surau baharu itu menambah jumlah rumah ibadah di daerah Tuaran kepada 69 buah, merangkumi 31 masjid dan 38 surau, seiring pertumbuhan penduduk serta kepesatan pembangunan daerah yang bersempadan dengan Kota Kinabalu.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang memainkan peranan besar menjayakan pembinaan surau berkenaan melalui kerjasama gotong-royong dan sumbangan masyarakat.
Beliau menegaskan masjid dan surau tidak hanya terbatas sebagai tempat ibadah, tetapi berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu serta pembangunan sosial dan ekonomi.
“Dengan adanya surau ini, kita memperkukuh identiti Islam di Negeri Di Bawah Bayu, malah ia juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan agama, sebagaimana masjid utama di Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya.
Menurut beliau, keunikan Sabah yang dihuni 35 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik menjadikan negeri ini sebagai contoh terbaik masyarakat majmuk di Malaysia.
Katanya lagi, kerajaan negeri komited memperkukuh institusi Islam melalui pembinaan masjid dan surau baharu, di samping mengimarahkan rumah ibadah sedia ada sebagai nadi perpaduan ummah.






