KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) mengesahkan gangguan bekalan elektrik di Kampus INTAN, Telipok dan kawasan sekitarnya pada Ahad lalu berpunca daripada cubaan mencuri kabel pada talian 33kV yang menghubungkan PPU Kibing ke PPU Menggatal.
Ketua Pegawai Operasi, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusuf berkata, kejadian pada awal pagi Ahad itu menyebabkan kerosakan serius pada kabel bawah tanah.
“Kelewatan disebabkan tahap kerosakan yang besar berpunca daripada cubaan mencuri dengan cara memotong kabel elektrik 33kV Sabah Electricity,” ujarnya.
Beliau berkata pasukan teknikal digerakkan serta-merta untuk membaiki kerosakan sepanjang malam, dengan lima janakuasa bergerak ditempatkan di lokasi terjejas.
Bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada 5:14 pagi, Isnin.
Sabah Electricity menzahirkan rasa kesal atas kesulitan yang dialami pengguna dan menyeru orang ramai segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik kepada pihak berkuasa atau Careline di talian 15444 / WhatsApp 019-852 5427.