Sabah Giat Laksana Pelan Capai KDNK RM100 Bilion Menjelang 2030

Sabah Giat Laksana Pelan Capai KDNK RM100 Bilion Menjelang 2030

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menggerakkan pelbagai perancangan strategik merangkumi pembangunan industri, pelaburan dan infrastruktur bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030 di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan telah mengenal pasti sektor industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik serta keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita telah mengenal pasti industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik serta infrastruktur yang diperlukan untuk menyokongnya. Kini, keutamaan adalah untuk memastikan semua perancangan ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, pada majlis perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) atau PACE bersama EDGE Summit di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik merupakan antara keperluan utama bagi memastikan pembangunan industri serta kemasukan pelaburan berskala besar ke Sabah.

Menurutnya, pelabur memerlukan kepastian mengenai kemampuan negeri menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, termasuk kos serta tempoh penyediaannya.

“Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang mereka hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan. Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah meskipun Kerajaan Negeri sedang memperluas pembangunan sumber tenaga boleh baharu.

Katanya, keseimbangan antara peningkatan permintaan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar perlu diberi perhatian bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah mencatatkan kemajuan menggalakkan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga, khususnya menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS yang dimeterai pada Disember 2021.

Menurutnya, Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada Kerajaan Negeri pada September lalu turut mengunjurkan bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.

“Cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah juga membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan.

“Perkembangan ini amat menggalakkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek-projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut memuji prestasi kewangan SEC serta usaha syarikat berkenaan mengembangkan operasinya menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1981, SEC telah berkembang menjadi antara syarikat tenaga terpenting di Sabah dengan peranan yang semakin besar dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas.

Pada masa sama, beliau menggesa semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperkukuh penyelarasan serta kerjasama bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan pelaburan berjalan lancar.

Katanya, prestasi baik sesebuah agensi secara individu tidak semestinya menjamin pencapaian keseluruhan sekiranya penyelarasan antara organisasi masih lemah.

Beliau menegaskan, Sabah tidak boleh membiarkan agensi kerajaan bekerja secara berasingan sehingga menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek dan kehilangan peluang pelaburan kepada destinasi lain.

“Kita tidak mampu membiarkan perkara ini berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain.

“Oleh itu, saya berharap agensi Kerajaan Negeri dan GLC akan terus memperkukuh kerjasama, berkongsi maklumat serta menyelesaikan masalah secara bersama, dan bukannya membiarkan sempadan organisasi melambatkan pelaksanaan sesuatu perkara,” katanya.

Hajiji turut berharap persidangan berkenaan dapat menghasilkan cadangan praktikal, kerjasama strategik baharu serta kaedah kerja lebih berkesan dalam memperkukuh sektor tenaga dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.