KOTA KINABALU: Sabah berpotensi memperluas kerjasama pelaburan dengan Norway khususnya dalam sektor minyak dan gas serta aktiviti hiliran berkaitan, susulan pertemuan antara kerajaan negeri dengan syarikat EInnovation & EPlug dari negara itu.
Potensi berkenaan dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi EInnovation & EPlug yang diketuai Presidennya, Evald Holstad kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun di pejabatnya, hari ini.
Pertemuan itu antara lain memberi tumpuan kepada prospek pelaburan dan ruang kerjasama yang boleh diterokai di Sabah, terutama dalam sektor minyak dan gas serta aktiviti hiliran berkaitan.
Masidi berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi Sabah.
“Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, di samping mewujudkan peluang ekonomi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Holstad dan rombongan atas kunjungan berkenaan yang membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara Sabah dan Norway, selain meneroka potensi baharu dalam sektor tenaga.
Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong; Ketua Pegawai Eksekutif TAS Institute Oil and Gas, Datuk Willie Ng; serta Ketua Pegawai Korporat dan OGSE SMJE, Terry Biusing.






