KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh laluan kerjaya golongan belia menerusi pelbagai inisiatif meliputi latihan kemahiran, bantuan geran keusahawanan, peluasan akses pasaran serta kerjasama strategik dengan sektor industri bagi meningkatkan kebolehpasaran dan pendapatan, khususnya dalam kalangan belia B40.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, strategi itu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang selari dengan keperluan industri selain memperkasakan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Antara strategi yang dilaksanakan ialah meningkatkan kebolehpasaran belia melalui latihan kemahiran jangka pendek dan jangka panjang yang memfokuskan kepada sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian.
“Pada masa sama, kementerian turut memperkasa keusahawanan belia melalui bantuan geran permulaan, latihan, bimbingan mentor dan pemantauan supaya mereka mampu menjana pendapatan secara mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, kementerian turut memperluaskan akses pasaran kepada usahawan belia melalui penganjuran karnival, ekspo, program promosi dan penyertaan dalam pelbagai platform pemasaran bagi membantu meningkatkan daya saing produk serta pendapatan usahawan.
Menurutnya, kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta termasuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan PERKESO terus diperkukuhkan bagi memperluaskan peluang latihan dan penempatan pekerjaan kepada belia.
Nizam berkata, peluang pekerjaan kini terus berkembang dalam pelbagai sektor strategik termasuk minyak sawit dan pemprosesan makanan, pelancongan dan perkhidmatan, pembinaan dan infrastruktur, perkapalan, logistik dan pelabuhan, akuakultur, perikanan serta ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
Beliau turut memaklumkan bahawa di Nabawan, kementerian telah melaksanakan Kursus Pemprosesan Hasilan Daging Ayam, selain membuka peluang kepada usahawan belia memohon Dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
Setakat ini, seramai 11 usahawan belia di daerah itu telah menerima dana berkenaan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Selain itu, Program Belia Turun Padang yang dianjurkan di Pusat Eko Pelancongan Sangkaliwara, Sepulut pada April lalu berjaya menghimpunkan 247 peserta menerusi pelbagai aktiviti pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti, kesedaran sosial dan sukan.






